
KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh, sebuah sekolah luar bandar di Long Panai, Baram yang sekolah paling kerap dilanda banjir di Malaysia akan menjadi tumpuan istimewa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan dua hari beliau ke Sarawak, mulai Khamis depan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, akan menghadiri taklimat dan tinjauan ke sekolah berkenaan yang mendapat peruntukan dari kerajaan persekutuan sebanyak RM50 juta bagi membina semula bangunan baru sekolah itu selepas mengambil kira keadaannya yang semakin daif dan terjejas oleh banjir.
Menurut satu kenyataan daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin dijadual menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Uma Beluvuh, Long Panai, yang mempunyai majoriti kaum Orang Ulu.Sebelum itu, Muhyiddin akan menaiki helikopter ke Ulu Lubai, Limbang bagi menghadiri majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort Dua di SK Ulu Lubai sebelum melakukan tinjauan mesra ke Rumah Panjang Tugang, Ulu Lubai.
Sebelah petang, beliau akan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di dewan masyarakat Batu Niah di Miri dan seterusnya berangkat ke Kuching untuk majlis pemimpin bersama rakyat bersempena dengan sambutan Chap Goh Mei di Hotel Hilton.
Pada Jumaat, Muhyiddin akan melawat Pusa di Betong untuk membuat tinjauan mesra dan sesi bersama rakyat di Pekan Pusa serta ke industri kecil gula apong dan kuih sepit di Kampung Pusa.
Beliau kemudiannya akan melawat Kampung Manggut, Spaoh di Betong untuk menghadiri perasmian Jalan Tuie/Supa/Manggut sebelum melawat Debak, juga di bahagian Betong.
Di Debak, Muhyiddin dijadual menunaikan solat Jumaat di masjid Darul Solihin dan seterusnya menghadiri majlis jamuan makan bersama rakyat di sana.
Muhyiddin akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat khas pada sebelah petang. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Please post your comment on the subject.