.jpg)
Untuk menggarap harapan yang besar bagi meneruskan satu penggal lagi mandat di Baram dijangka akan menghadapi rintangan yang getir terutamanya kesan daripada isu semasa yang semakin mendapat perhatian masyarakat setempat. Penggal lima tahun yang diberikan saudara Lihan Jok akan melabuhkan tirai tidak lama lagi. Ketika ini, sudah tentu usaha yang berlipat ganda diperlukan bagi memenangi semula hati rakyat di DUN Telang Usan yang kian lama semakin pudar hasil hentaman dari pihak pembangkang dan golongan muda yang mula melibatkan diri di dalam cakap-cakap politik. Usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan selama ini dikatakan sangat lapuk dan tidak memahami agenda pembangunan yang sebenar serta perlaksanaan projek bagaikan melepaskan batuk ditangga serta tersasar dari matlamat sebenar.
Suatu ketika dahulu, isu pembalakan menjadi satu modal dimainkan di dalam perbahasan politik. Namin, tomahan dan dakwaan yang dikatakan tidak berasas itu mampu ditepis dan berjaya meyakinkan rakyat untuk meneruskan pentadbiran di DUN Telang Usan. Selain isu pembalakkan, penduduk dikejutkan dengan perluasan empayar projek penanaman kelapa sawit yang turut memberi laluan yang mudah kepada syarikat-syarikat korporat meneroka tanah adat orang asal di situ. Isu ini menjadi semakin hangat kerana dikatakan kegagalan pihak berwajib mengiktiraf tanah adat orang asal atau NCR (Native Customary Right) yang didakwa meliputi semua tanah di dalam kawasan sempadan kampung termasuk ‘pulau’. Justeru, banyak suara semakin lantang mempersoalkan peruntukan di dalam Sarawak Land Code yang yang mengabaikan hak terhadap tanah adat mereka. Untuk menjawap persoalan yang bermain di minda rakyat bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka telah mengalami mimpi yang memeritkan dan tangisan mereka tidak kedengaran. Di dalam keadaan tertentu jalan penyelesaian berakhir di Mahkamah.
Baru-baru ini projek penanaman kelapa sawit telah diperluaskan di bahagian Baram secara langsung menyebabkan banyak kampung yang terpaksa mengorbankan tanah mereka demi memberi laluan kepada projek yang dikatakan memberi pulangan yang lumayan kepada masyarakat, lantas membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan. Kampung yang terlibat seperti Long Panai, Long Ikang dan Long Banyok mula mempersoalkan pulangan bakal dijanjikan oleh badan korporat dalam tempoh konsesi yang boleh menjangkau 99 tahun. Kerisauan juga ditunjukan oleh sesetangah pihak tentang hala tuju mereka kerana selama ini hanya bergantung dengan tanah untuk bercucuk tanam dan mencari hasih hutan. Mungkin juga projek-projek seumpama ini yang telah diusahakan di tempat lain tidak memberi khabar gembira kepada masyrakat. Keuntungan yang dijanjikan oleh syarikat korporat dan kerajaan masih kabur dan juga mungkin bergantung kepada prestasi syrarikat yang seiring dengan keadaan ekonomi semasa. Di dalam kes tiga kampung yang telah dinyatakan, imbuhan yang bakal dinikmati adalah dalam bentuk pampasan sebanyak RM300.00/Hektar dan juga sagu hati yang bersifat sementara. Mungkinkah angka ini amat memeranjatkan atau tidak boleh diterima akal di dalam kontek kejujuran membasmi kemiskinan. Ketelusan di dalam perlaksanaan projek seumpama ini masih lagi tidak bersifat terbuka dan masih memerlukan campur tangan pihak kerajaan bagi mencapai keputusan menang-menag kepada pihak terlibat. Keadaan semakin rumit apabila suara-suara kecil dari pelosok kampung diabaikan kerana perjanjian konsesi tanah disajikan kepada wakil mereka seperti Ketua Kampung dan Penghulu sahaja.Justeru itu mengetepikan hak individu yang terlibat.
Beralih dari isu tanah, kemudahan awam juga mendapat cemuhan yang meluas seperti jalan raya dan kemudahan kesihatan. Kisah jalan utama yang menghubungi Bandar Miri ke kawasan pedalam ulu Baram hingga kini tidak pernah selesai. Keluhan rakyat yang terpaksa meredah jalan yang berlopak dan tidak berturap ini biasa sahaja didengar malahan ada yang menggelarnya sebagai ‘Hell Highway’. Kini keadaan masih tidak berubah meskipun berbillion ringgit yang pernah dijanjikan untuk memajukan kawasan luar Bandar diwar-warkan oleh kerajaan. Orang Ulu memang mempunyai semangat yang kental dan rajin berusaha. Malah ada yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan seperti yang kita lihat di semua kampung terdapat banyak kedai runcit dan perniagaan yang dibuka terutamanya di Long Bedian dan Long San.Ada juga sebilangan yang berjiwa usahawan petani yang mula melihat jauh untuk membuat ladang kelapa sawit, getah dan lada hitam secara persendirian. Ketiadaan jalan raya yang elok amat menyukarkan dan mereka terpaksa menyerap kos yang tinggi untuk pengangkutan ditambah dengan harga minyak yang tidak dikawal selia. Ada juga menaruh harapan sekira adanya jalan raya, aktiviti perniagaan mudah dijalankan dan juga hasil-hasil pertanian juga boleh dipasarkan ke Bandar Miri. Disamping itu juga, kebergantungan kepada jalan sungai sebagai pengangkutan utama dikurangkan dan juga menjimatkan masa.
Kemampuan wakil rakyat merealisasikan impian ini adalah menjadi satu kayu pengukur sejauh mana konsep pembangunan yang sebenar dapat dilaksanakan. Penggal pentadbiran bersilih ganti dan orang yang memegang portfolio adalah orang yang sama dengan visi yang sama tanpa mengotakan semua janji yang ditabur. Situasi ini mungkin mengundang kepada sikap fobia dan bosan dikalangan rakyat lebih-lebih penggal DUN sudah hampir kepada penghujung. Segala aktiviti dan cadangan projek dan penjelasan berkenaan tanah NCR ketika ini mungkin dianggap gimik politik yang tidak berkesudahan atau menagih simpati rakyat untuk mendapatkan kembali mandat. Mungkinkah rakyat akan terus seperti pungguk merindukan bulan. Atau wakil rakyat bagaikan melepaskan batuk di tangga. Walaubagaimanapun berbalik kepada prinsip, tepuk dada tanyalah selera kerana segala hak ditangan kita untuk memilih dan memberi mandat kepada wakil untuk menerajui semua kaum di Telang Usan untuk merealisasikan impian pembangunan secara total
sila lawat www://talikhidmat.sarawak.net.com.my utk complain our YB like Bau people done b4 until their highway complete..need 2 prepare formal letter, fact(picture)..dont just 'kong pun bo yong' sya sendiri pun sedar 'hell highway'tua dari sya ;)..x ada masa la nak complain.just wait and cccc
ReplyDelete